Thursday, August 19, 2010

Menyusu Badan Dalam Bulan Ramadhan

Tanggapan sesetengah ibu mengenai susu badan akan kering ketika berpuasa adalah tidak benar. Walaupun kita tidak makan dan minum pada siang hari, ia tidak bermakna ibu tidak dapat menghasilkan susu yang mencukupi untuk keperluan bayi.

Ini kerana ibu masih lagi mengambil makanan dan minuman pada waktu malam iaitu selepas berbuka dan sehingga waktu Imsak. Bagaimanapun, seseorang ibu tidak seharusnya mengelakkan atau mengambil mudah amalan bersahur kerana ia adalah bekalan tenaga dan air untuk tubuh ibu sepanjang hari.

Seseorang ibu seharusnya meminum air yang mencukupi selepas berbuka sehingga waktu Imsak. Sekiranya tidak bersahur dan kekurangan air, tubuh ibu akan mengalami dehidrasi yang boleh menjadi penyebab kepada kurangnya penghasilan susu.

Bagaimanapun katanya, wanita tidak seharusnya terlalu memikirkan mengenai ibadah puasa yang akan menyebabkan mereka kekeringan susu kerana kebimbangan melampau sehingga menyebabkan stres yang sebenarnya boleh mendorong kepada kemerosotan kuantiti susu badan.

Penghasilan susu boleh merosot bukan disebabkan ibadah berpuasa, sebaliknya kerana stres yang dialami oleh ibu sehingga menghalang refleks ejeksi susu atau let down. Oleh itu, ibu perlu bertenang dan menjalani rutin harian seperti biasa.

Semasa proses penyusuan, hormon-hormon seperti prolaktin dan oksitosin akan terlibat. Prolaktin adalah hormon yang menghasilkan susu dan oksitosin pula merupakan hormon yang merembeskan keluar susu ibu. Namun begitu, terdapat satu lagi faktor yang berkait rapat dengan konsep permintaan dan penawaran tadi. Hormon yang dimaksudkan ialah Feedback Inhibitor Of Lactation (FIL) yang juga merupakan sejenis protein yang terdapat dalam susu yang berkumpul dalam payu dara ibu.

FIL memberi tindak balas secara negatif kepada proses penghasilan susu. Apa yang dimaksudkan dengan tindak balas negatif tersebut?

FIL akan mula berkumpul dalam payu dara apabila kurangnya rangsangan dan payu dara tidak dikosongkan dengan betul (hanya sedikit susu yang dikeluarkan daripada payu dara). Tidak kiralah sama ada kekurangan rangsangan itu daripada kurangnya hisapan oleh bayi atau pun kurangnya aktiviti mengepam keluar susu sewaktu bayi tidak bersama ibu.

Tahap FIL yang tinggi ini akan mula memberikan isyarat agar penghasilan susu perlu dikurangkan kerana kurangnya permintaan.

Ia akan menjadi sebaliknya pula jika payu dara sering dikosongkan. Peratusan FIL dalam payu dara akan menjadi rendah dan seterusnya menghantar isyarat supaya lebih banyak susu perlu dihasilkan oleh ibu.

Oleh itu, susukan bayi dengan kerap dan bagi ibu yang bekerjaya atau pun yang berjauhan dengan bayi pula, jangan lupa untuk mengepam susu pada setiap dua jam atau tiga jam sekali.

Kaum ibu juga tidak perlu bimbang mengenai zat dan nutrien dalam susu badan sepanjang bulan Ramadan.

(sumber kosmo )

No comments:

Post a Comment