Wednesday, June 29, 2011

Peraduan Dunia Susu Ibu 2011




Kategori: Bersalin secara caesarean
Tarikh Lahir Anak: 14 hb April 2009


Pabila tinta menulis perjalananku...

Kelahiran orang baru merupakan saat yang mengembirakan dan dinanti dalam sebuah rumahtangga. Tidak terkecuali bagi seorang mama seperti saya yang mengharapkan kehadiran insan baru dalam keluarga kecil kami. Demi memberikan yang terbaik maka saya menjarakkan kelahiran selama 5 tahun. Pasti anda berasa pelik mengapa terlalu lama jarak tersebut. Adakah kerana tiada rezeki atau merancang keluarga. Ya, saya merancang atas faktor kesihatan. Kelahiran terdahulu secara pembedahan membataskan penambahan ahli keluarga terlalu hampir bahkan saya masih trauma dengan kelahiran dahulu. Pasti ibu-ibu lain tertanya mengapa saya perlu melahirkan permata hati melalui pembedahan bukan secara normal. Adakah kerana saya tidak tahan sakit atau menjaga badan.

Kondisi saya tidak mengizinkan kelahiran secara normal. Ini adalah kerana saya disahkan oleh doktor menghadapi masalah tulang pelvis kecil meskipun bukaan 10cm dan permata hati saya kelak pasti mencecah 4kg. Jika saya berhasrat untuk melalui kelahiran normal maka saya perlu pastikan bayi yang dikandung beratnya di bawah 3kg. Oleh itu, sepanjang kehamilan kali ini saya berdiet sepanjang kehamilan untuk mendapatkan berat yang disyorkan. Sesungguhnya kehamilan kali ini memang menggembirakan hati kerana alahan tidak seteruk dahulu. Bahkan rakan-rakan sepejabat pun tidak menyedari saya hamil sehinggalah mereka perasaan perubahan perut yang semakin membesar.

Detik kehamilan memang menyeronokkan namun ada secebis saat yang tidak saya sukai. Berdasarkan kelahiran sebelum ini yang mencecah 4.38kg, saya sentiasa diminta mengambil darah 4 kali/hari untuk pihak klinik kesihatan memantau kandungan paras gula di dalam darah. Proses ini mengganggu emosi saya bahkan setiap kali pemantauan, bacaan paras gula di dalam darah berada di tahap yang normal. Tiba satu ketika, saya tidak sanggup melalui keadaan ini menyebabkan saya meneruskan pemeriksaan sepanjang kehamilan di klinik swasta. Bahkan dinyatakan kepada saya prosedur itu tidak perlu.

Seperti yang dijangka, kelahiran kedua ini turut melalui pembedahan meskipun pada awalnya pihak Hospital menjangkakakan saya boleh melahirkan secara normal. Doktor memberi kata putus kepada saya sama ada untuk meneruskan kelahiran normal atau melalui pembedahan. Risiko yang bakal saya hadapi jika meneruskan kelahiran secara normal ialah tulang bahu anak boleh patah kerana saiz bayi besar pasti akan tersangkut di laluan keluar. Ya Allah, biar saya yang melalui detik kesakitan bukan permata hati saya. Doktor juga memaklumkan kepada saya kecederaan tersebut boleh sembuh namun tidak bagi saya. Malah doktor juga menjangkakan jika masih gagal pasti kelahiran secara pembedahan tetap diteruskan.

Tidak sanggup saya melalui 2 kesakitan seperti kelahiran sulung. Kesakitan yang saya tanggung semalaman meskipun bukaan telah mencecah 10cm. Pelbagai saiz tangan manusia yang menyeluk laluan dan menekan perut saya bagi membantu kelahiran namun gagal. Tenaga saya akhirnya terbuang begitu sahaja kerana kepala bayi tidak melepasi langsung laluan. Saya masih bernasib baik kerana jururawat tidak sempat membuat torehan untuk memudahkan kelahiran. Jika tidak pasti saya menanggung kesakitan berganda.

Demi permata hati dan keselamatan diri, saya dan suami bersetuju untuk melalui sekali lagi proses kelahiran secara pembedahan. Bahkan ketika ini, emosi saya sangat stabil berbanding dulu kerana ketika kali pertama saya tidur sepanjang proses pembedahan. Meskipun saya tidak dapat melihat secara jelas pembedahan tersebut(kerana saya rabun jauh)namun saya masih bisa menyaksikan bagaimana prosedur kelahiran secara pembedahan. Terasa badan bergoncang tatkala doktor mengeluarkan bayi dan peralatan yang diambil sepanjang pembedahan.

Jam 4.59 ptg bersamaan 14 Februari 2011 hari Sabtu, permata hati saya menghirup udara dengan izin Allah. Syukur Ya Allah. Kelahiran ini berjalan dengan lancar dengan izin-Nya. Selesai kelahiran saya dibiarkan rehat lebih kurang 2 jam sebelum permata hati saya yang telah saya pilih nama sebelum kelahirannya AIRIEL diserahkan kepada saya. Buat pertama kalinya, perut Airiel diisi dengan kolostrum. Momen itu tidak dapat saya lupakan bahkan ketika itu juga air mata syukur menitis dengan sendirinya saat si kecil menyusu. Memang sepanjang tempoh kehamilan kali ini saya berniat dan berdoa agar dipermudahkan menyusui bayi dengan susu badan. Bahkan sepanjang 3 hari di wad, Airiel menyusu dengan saya hingga tidur kekenyangan. Bayangkan keadaan saya yang melalui saat kelahiran secara pembedahan menyusukan anak. Saya tidak boleh bangun dengan mudah dari katil kesan luka pembedahan. Namun demi si kecil saya gagahkan diri. Alhamdulillah Airiel tidak terkena jaundis sepanjang berada di hospital maka saya pulang ke rumah hari ke 3.

Proses penyusuan saya teruskan sepanjang tempoh berpantang di rumah. Kelahiran melalui pembedahan menuntut saya lebih menjaga kebersihan diri di mana luka pembedahan perlu dijaga dengan teliti bagi mengelakkan jangkitan. Pengalaman pertama saya banyak membantu. Namun jangkitan tetap ada menyebabkan saya perlu mendapatkan rawatan di klinik. Luka pembedahan terbuka di sebelah tepi menyebabkan jangkitan namun masih di peringkat awal dan boleh sembuh tanpa perlu dibuka semula luka pembedahan. Berbeza dengan kelahiran kali ini, saya dapat merasakan rahim saya lebih cepat mengecut. Mungkin disebabkan oleh penyusuan tersebut. Selain itu, berat badan saya menyusut dan lebih ringan. Kelahiran secara pembedahan membataskan saya untuk mengambil jamu maka saya banyak minum pati ikan haruan dan vitamin.

Saya juga mengalami puting berdarah dan bengkak susu semasa berpantang. Ketika ini saya hanya merujuk cara penyelesaian melalui buku Panduan Penyusuan Susu Ibu Bagi Ibu Bekerjaya dan orang lain yang hampir dengan saya. Ilmu penyusuan saya masih cetek walaupun sebelum melahirkan saya jenguk website berkaitan penyusuan susu ibu namun praktikalnya kurang. Malah sepanjang mendapatkan pemeriksaan kehamilan, klinik kesihatan tidak pernah memberi apa-apa info untuk menjayakan penyusuan susu ibu. Padahal mereka mengamalkan polisi rakan bayi bagi menggalakkan penyusuan susu ibu namun tiada sebarang pendedahan buat ibu-ibu hamil.

Sepanjang menghadapi masalah tersebut, saya pernah cuba mengepam susu menggunakan pam yang dibeli sebelum bersalin bagi mengosongkan payudara namun gagal. Pam yang saya gunakan memang langsung tidak membantu bahkan setitis susu pun tidak keluar. Berpandukan buku panduan yang saya beli, saya cuba mengeluarkan susu secara picitan di mana kaedah tersebut dipanggil MARMET. Atas faktor tidak mahir, proses ini mengambil masa yang terlalu lama dan hasilnya mengecewakan.

Oleh kerana tidak berapa arif, ia hanya membantu mengurangkan bengkak susu. Pengosongan secara penuh tidak berjaya saya lakukan. Untuk itu, saya teruskan penyusuan secara terus dengan bayi meskipun terpaksa menahan kesakitan teramat sangat. Memang pedih apabila mana puting luka ditambah dengan bengkak susu. Hingga satu tahap suami mencadangkan kepada saya untuk memberikan susu formula namun saya tetap tidak benarkan. Biar saya menahan kesakitan demi si kecil. Pelbagai cara saya lakukan samada melekap kobis di payudara, mengurut payudara secara lembut dan meyapu sedikit susu di puting. Alhamdulillah berkat doa seorang mama, bengkak dan luka sembuh akhirnya.

Kesilapan saya tidak hanya di situ. Kekangan kewangan membataskan saya membeli pam yang mahal di mana saya membuat keputusan memberi pam murah dengan berharap pam tersebut berfungsi. Meskipun sesetengah ibu berjaya mengepam menggunakan pam murah namun ia mengikut keselesaan masing-masing. Hingga ke saat habis pantang, tiada bekalan susu ibu untuk Airiel kerana kegagalan pam saya berfungsi. Semangat untuk meneruskan penyusuan semakin menurun meskipun niat masih ada. Pada ketika itu, saya bercadang untuk menyusukan Airiel pada waktu malam sahaja manakala pada waktu siang Airiel akan minum susu formula.

Maka hari pertama Airiel dihantar untuk jagaan pengasuh berbekalkan susu Nan 1. Akibatnya selama beberapa hari Airiel minum susu formula tersebut dan saya masih belum mampu untuk membeli pam lain yang lebih efisien atas kekangan kewangan. Mungkin pada sesetengah orang RM200 itu tidak banyak namun bagi kami sekeluarga, banyak benda yang boleh dibeli dengan wang sebanyak itu. Sepanjang bekerja, saya sekali lagi mengalami bengkak susu dan baju basah lencun kerana payudara penuh. Peritnya hanya Allah yang tahu. Namun ketika di rumah saya menyusukan Airiel sepenuhnya. Saat menyusukannya, saya lihat Airiel seolah-olah kehausan dan menanti kepulangan saya untuk meneguk susu badan. Kejamnya saya bukan?

Sepanjang minum susu formula, Airiel mengalami masalah pembuangan air besar di mana hampir 1 minggu tidak berak. Saya mula mencuba pelbagai jenama susu namun semua gagal mengatasi masalah pembuangan air besar Airiel. Segera saya bawa untuk pemeriksaan namun doktor menyatakan anak saya tiada masalah. Saat itu, saya terfikir masalah ini tidak wujud ketika saya menyusukan Airiel sepenuhnya. Selain itu, pengasuh saya juga mengalami masalah memberi susu melalui botol di mana Airiel tidak mahu menghisap. Pelbagai jenis puting saya cuba dan akhirnya saya mencuba puting MAM dan berjaya. Pengajaran buat saya untuk masa hadapan, perlu melatih bayi minum melalui botol sebelum memulakan semula tugasan di pejabat. Bahkan kini, saya selalu mengesyorkan kepada bakal-bakal ibu untuk melakukannya bagi mengelakkan mereka melalui saat seperti saya.

Tekad di hati saya perlu membekalkan susu ibu kepada Airiel demi kesihatannya. Pucuk di cita ulam mendatang apabila teman sepejabat sudi meminjamkan pam Avent Isis kepada saya. Syukur alhamdulillah, sekali saya pam boleh mendapat 8oz..bahkan kadang-kadang 10oz..bukan mempromosi pam tersebut namun saya telah berjaya menggunakannya dengan efisien. Saat itu bermula sesi pengepaman saya iaitu 3 kali/hari. Setiap hari saya pulang dengan bekalan si kecil sebanyak 16 - 20oz..bahkan boleh dijadikan stok malah saya ada catatan sendiri penggunaan stok mengikut tarikh.


Stok di akhir perjuangan

Tidak lama kemudian, saya membeli sendiri pam Avent Isis dan menjadikan rutin pengepaman bertambah menyeronokkan. Terima kasih buat Pn Hanna Shafinaz atas jasa beliau meminjamkan pam dan dikenang sepanjang hayat. Meskipun susu saya tidak semeriah mana namun cukup untuk bekalan Airiel sepanjang saya bekerja bahkan saya hanya mengepam ketika bekerja sahaja. Saya bersyukur juga kerana mendapat pengasuh yang arif dengan pengendalian ebm. Selain dari dorongan suami yang pada mulanya tidak memberi sokongan namun memberi sokongan sepenuhnya apabila melihat kesungguhan saya, pengasuh saya turut memberi galakan sepanjang menjayakan perjuangan saya. Tidak lupa ibu yang sentiasa mendoakan kejayaan perjuangan saya dan adik perempuan saya yang turut mengikut jejak saya. Bahkan atas faktor yang terlalu peribadi saya menyusukan anaknya dengan izin suami, menjadikan Ilham Wafiy anak susuan saya.


2 tahun pam ini berjasa

Sebagai ibu bekerjaya dan berada di bidang penguatkuasaan sudah pasti saya terlibat dengan operasi malam. Sebagai ibu yang menyusukan anak ia sedikit sebanyak mencabar ketabahan saya . Namun saya telah buktikan walaupun saya bertugas di luar waktu pejabat namun sesi memerah tetap diteruskan.

Operasi malam selalunya bermula jam 6.00 ptg hingga 4.30 pagi.Saya biasanya memerah di R&R Plaza Tol samada di surau bahkan saya pernah mengepam di dalam tandas yang serba kekurangan.

Demi si kecil saya kuatkan semangat kerana tandas plaza tol kurang menyenangkan namun saya tetap meneruskan aktiviti memerah sambil menjaga kebersihan. Alhamdulillah...Semasa memerah susu di surau R&R seringkali saya ditegur oleh para petugas plaza tol bahkan kakitangan agensi lain yang turut sama berada di dalam surau.

Rata-rata memuji ketegaran saya mengepam dan memberi kata-kata semangat. Tiada alasan yang boleh membataskan kita untuk menyusukan anak meskipun kita bekerja di lapangan.


Berkat susu ibu

Saya juga pernah mengepam ketika menghadiri seminar di sekitar Kuala Lumpur. Tiba saat mengepam, saya pasti akan keluar menuju ke arah surau untuk memulakan aktiviti rutin saya. Jika seminar tersebut seharian maka saya akan mengepam 3 kali sehari sepertimana jika saya berada di pejabat. Malah saya pernah diusik oleh teman-teman sepejabat sebagai pengepam tegar@ Otai Susu kerana tidak pernah meninggalkan cooler bag saya. Sepanjang 2 tahun saya mengepam, tidak pernah tersandang di bahu beg tangan hanya beg pam yang berwarna hijau.

Jika diperhatikan, saya bukan seorang hardcore dalam proses pengepaman. Ini adalah kerana saya lebih banyak mengepam ketika berjauhan dengan si kecil berbanding ibu-ibu yang lebih tegar. Saya pernah mengepam selepas si kecil menyusu namun tiada setitis pun yang keluar. Oleh itu, saya beranggapan payudara saya telah kosong sepenuhnya dengan bantuan si kecil. Namun saya bersyukur dengan izin Illahi bekalan saya masih mencukupi untuk mengisi perut si kecil sepanjang ketiadaan saya.

Dusta jika dikatakan saya tidak pernah mengalami masalah bekalan susu merundum. Namun saya berjaya atasinya dengan bantuan EBM yang serba kekurangan. Ketika melalui saat ini, saya niatkan dan doa ke hadrat Illahi agar dipermudahkan urusan saya. Pernah saya tidak tidur malam kerana masalah ini. Sepanjang perjuangan saya ini, pelbagai dugaan yang saya lalui yang kadangkala membuat jiwa ini merintih namun melihat sekujur tubuh kecil yang sedang membesar, saya kuatkan semangat agar perjuangan saya tercapai.

Sepanjang perjalanan saya menyusui anak, telah banyak kata-kata negatif dan sindiran yang saya terima. Namun ia menjadikan saya lebih bersemangat dan kuat. Saat susu saya merundum, segera saya dapatkan rakan-rakan di Kumpulan Ibu-Ibu Menyusukan atau moms@KIM. Meskipun kami hanya bertemu di alam maya namun tiada istilah kedekut ilmu. Demi merealisasikan perjuangan saya untuk permata hati, tanggal 5 Julai 2010 saya mula mencipta sebuah blog di mana saya mencatatkan perjalanan saya yang penuh onak dan duri. Lahirlah http://airielsjourney.blogspot.com.


Teman seperjuangan

Tanggal 9 Mei 2011 merupakan tarikh yang menyedihkan saya. Sesi mengepam terpaksa saya hentikan kerana Airiel telah menolak susu perahan. Meskipun kini, saya telah berhenti mengusung beg mengepam namun penyusuan secara terus tetap saya lakukan kerana belum ada tanda-tanda Airiel untuk cerai susu. Namun saya berjaya menyusukan Airiel selama lebih kurang 2 tahun 3 bulan dengan pelbagai dugaan. Pengalaman penyusuan saya tidak sehebat ibu-ibu lain yang lebih mencabar namun saya bangga dapat berdiri sebagai ibu yang menyusukan anak dan bangga dengan pencapaian saya.

Sekiranya saya bakal melalui saat ini pada masa hadapan, pasti semua kesilapan akan saya tebus bagi menjayakan tempoh penyusuan yang lebih baik. Bahkan saya bercadang untuk meminjamkan pam Avent Isis saya kepada Puan Nurul Aina sebagai pembakar semangat untuk beliau menyusukan anak sepenuhnya. Berat rasa di hati untuk berpisah dengan pam kesayangan namun bila difirkan lebih baik ia berjasa dengan mama yang lain daripada terperuk di dalam kotak. Semoga ia berjasa sepertimana ketika mengiringi perjuangan saya.

Sehingga kini saya masih merindui saat mengepam dan masih terasa kehangatan serta keindahannya. Jika seorang mama melalui saat penyusuan ini dengan penuh kecekalan pasti memori sepanjang perjalanan tetap subur di ingatan. Biarlah ketika ini, saya terus menikmati saat indah penyusuan bersama Airiel. Saat bercerai susu pasti tiba namun biarlah Airiel sendiri yang menentukannya. Hingga tiba saat itu, saya tetap menyusui permata hati tanpa henti...

7 comments:

  1. alhamdulillah..tabahnya dlm menyusukan anak..sy bjaya separuh jln tp sy nekad utk susukan anak2 akn dtg sec ekskulsif..congratez..

    ReplyDelete
  2. the young happy mama

    sepanjang perjalanan ini, bukan semudah yang disangka..untuk capai matlamat penuh liku..namun apa yang mama perolehi sepanjang perjuangan ini, satu kenangan manis yang mama rindui setiap detik..jika tidak berjaya kali ini, cuba bangkit dari kegagalan untuk permata hati akan datang..cm mama pernah jatuh tersungkur..tapi sekurang2nya awak berjaya lalui detik BF separuh jalan..itupun dah membanggakan bagi seorang mama..insyaallah awak boleh..mama doakan..

    ReplyDelete
  3. congrat sis..
    syahdu je..hampir same cerita kite..
    mama2 kene cekal kan..

    ReplyDelete
  4. ha'ah. memang syahdu rasa hati. sy juga merupakan ibu bekerja yg masih berusaha untuk BF sehingga 2 tahun dan dugaan memang teramat byk. tahniah kerna telah berjy melalui saat2 itu :-)

    ReplyDelete
  5. tahniah kak..pengalaman berharga Allah bagi..untuk same ambil ikhtibar..semoga ada saham jariah berpanjangan insyaAllah!

    salam ukhuwwah fillah dari Bayt Al-Iman! ;)

    ReplyDelete
  6. puanungupunyecite...
    memang cekal demi permata hati..rasa bangga sebab berjaya tepis semua sindiran sepanjang perjuangan..alhamdulillah

    saliha...
    mama doakan awak pun boleh..kuatkan semangat yea..

    ummu..
    Akak bersyukur kerana Allah izinkan akak melalui pengalaman nie..membuatkan akak lebih menghargai dan cekal..salam ukhuwah juga..

    ReplyDelete
  7. Berikut adalah pemenang Peraduan Dunia Susu Ibu 2011 untuk kategori Bersalin Secara Caesarean.

    Para pemenang akan dihubungi melalui Facebook untuk urusan penghantaran hadiah dan sms akan dihantar setelah urusan penghantaran hadiah dibuat. Terima kasih atas penyertaan anda!

    5.Produk penyusuan susu ibu bernilai RM25.90 : Jingle Jungle – Breastmilk Storage Bag (12oz) 25 pcs (bernilai RM12.90 ), Pakej A keychain, car sticker, badge (bernilai RM13.00 ).

    NOR HASIDAWATI BINTI HAMID
    FB: Hunny Ida
    http://airielsjourney.blog​spot.com/2011/06/peraduan-​dunia-susu-ibu-2011.html

    Alhamdulillah, terselit nama mama...buat masa sekarang memang x guna present2 tu tapi, mama tetap hargai sebagai kenangan perjuangan mama...terima kasih Dunia Susu Ibu

    ReplyDelete