Bismillah pembuka bicara .......
Tatkala mengimbau semula sebuah catatan perjalanan pada 1 Ramadhan 1432H ini, saat terindah bersama putera hati masih aku nikmati hingga ke saat ini. Syukur Ya Allah atas izin-Mu. Buat kedua kalinya aku berkongsi catatan perjalananku yang tidak seberapa namun sunguh manis dan masih ku rindui dengan olahan yang berbeza..Tujuannya sama, berkongsi sebuah perjuangan demi permata hati…Hingga kini aku masih meneruskan penyusuan susu ibu meskipun permata hatiku bakal mencecah 2 tahun 6 bulan bahkan kami berdua belum bersedia untuk bercerai susu. Memang benar kata orang-orang tua, makin lama menyusu makin sukar untuk berpisah.
Adakah kerana aku tidak sanggup menghadapi kehilangan atau si kecil yang masih memerlukan susu ibu? Jawapan tiada padaku kerana kini aku berserah kepada takdir dan keadaan yang ditentukan. Kepenatan seharian bekerja lenyap sebaik sahaja bibir kecil itu menagih seteguk susu yang dinanti seharian. Bahkan Airiel yang semakin petah berkata-kata membuatkan hati berbunga riang. Makin pandai merajuk tatkala daku mengusik dirinya agar berhenti menyusu atas alasan Airiel sudah besar. Abang Aiman juga sering mengajuk Airiel agar berhenti menyusu namun dipandang sinis oleh Airiel.
Indah sungguh kurniaan Illahi namun aku harus akur satu hari nanti saat itu pasti tiba..masih berat rasa hati untuk berpisah..apabila kami bersama tiada sepatah kata yang bisa menggambarkan betapa kebahagiaan merajai kami. Sesungguhnya aku masih merindui saat mengepam di pejabat. Masih terasa kehangatan dan keterujaan bersama teman-teman seangkatan mengepam di surau sambil berkongsi cerita. Namun hingga saat terakhir aku mengepam, hanya aku seorang yang masih tegar meskipun melangkau 2 tahun kerana teman seangkatanku sudah berhenti mengepam atas kehendak masing-masing..Masih segar di ingatan ketika sedang asyik berceloteh sesama kami, tidak terasa botol penuh terisi susu ibu. Alhamdulillah….
Namun, aku harus redha atas ketentuan Illahi yang selama ini mengizinkan aku melaksanakan perjuangan ini...Kini hampir 3 bulan aku meninggalkan tugas rutinku sepanjang 2 tahun 3 bulan dengan linangan air mata. Bukan kemahuanku tetapi puteraku hanya mahu susu terus dariku...Aku pasrah dengan kehendak putera hatiku..Meskipun aku hanya mengepam 1 kali sehari di saat terakhir sebelum berhenti sepenuhnya namun aku masih bisa memperolehi 8 oz...Syukur...Terasa kekosongan dan kesepian yang amat ketara namun terubat apabila memikirkan pam Avent Isisku kini berjasa kepada temanku Nurul Aina Shamsuddin yang berada di Ipoh, Perak. Tatkala mengepos pam, sayu dan syahdu rasanya memikirkan pam akan merantau jauh tapi daripada dibiarkan terperuk di dalam kotak lebih elok berjasa untuk mama lain.
Jika diimbas kembali perjalananku selama 2 tahun 3 bulan, pelbagai onak dan duri, ranjau berliku yang daku tempuhi namun tidak sama dengan kebahagiaan dan kenikmatan yang permata hatiku perolehi bahkan kenangan terindah yang tersemat di kalbu diriku. Meskipun perjalanan aku tidak segetir mama lain namun bagi diri ini yang bangkit dari kegagalan kali pertama, semuanya bermula dari bawah. Bahkan aku pernah jatuh tersungkur dan patah semangat. Ilmu penyusuan susu ibu telah aku kutip merata-rata namun keadaan sekeliling tidak memberi perangsang untuk meneruskan penyusuan. Ia menjadi iktibar kepadaku untuk meluaskan pencarian mengenali ibu-ibu yang sealiran denganku. Bahkan sepanjang mendapatkan pemeriksaan kehamilan, aku tidak didedahkan secara praktikal ilmu penyusuan susu ibu meskipun aku menjalani pemeriksaan di Klinik Rakan Bayi. Semua ilmu yang aku perolehi adalah melalui pembacaan buku Panduan Penyusuan Susu Ibu Bagi Ibu Bekerjaya yang aku beli sebelum kelahiran dan laman web berkaitan susu ibu.
Semangat menjayakan penyusuan masih menebal di sanubari bagi menebus kesilapan lalu. Maafkan mama MOHD AIMAN HAIMAL atas kekhilafan mama ketika dahulu. Namun mama bersyukur kerana dapat menyusukan dirimu selama 2 bulan dengan susu mama..Untuk itu, akan mama tebus kembali dengan kelahiran adikmu. Terasa bahagia apabila melihat ibu-ibu muda yang tekad untuk menyusukan anak pertama mereka. Betapa mereka beruntung kerana mendapat pendedahan dan informasi tentang kepentingan menjayakan susu ibu. Tahniah semua..
Cabaranku bermula saat putera hatiku yang kedua dilahirkan ..MOHAMAD AIRIEL HAFIQIE...Tanggal 14 Februari 2009 jam 4.59 petang berat 3.78kg di Hospital Selayang, aku selamat melahirkan permata hati yang kedua secara pembedahan sama seperti kelahiran terdahulu. Sebelum ini, doktor menjangkakan aku bisa melalui kelahiran secara normal namun ketentuan Allah tidak dapat kita halang. Sudah tertulis aku tetap melahirkan si kecil secara pembedahan atas masalah kesihatan. Saiz bayi yang mencecah 4kg tidak membolehkan aku bersalin normal atas faktor tulang pelvis kecil. Setelah 2 kali melalui proses kelahiran secara pembedahan maka doktor hanya membenarkan aku melahirkan anak sebanyak 3 kali sahaja. Hingga kini aku belum berniat untuk menambah anggota keluarga meskipun sang puteri belum menemani dapur ku .....
Kesukaran dan cabaran yang bakal aku hadapi tidak hanya terhenti di situ sahaja. Keadaan aku yang perlu menjaga luka pembedahan membuatkan pergerakanku terhad. Namun aku bersyukur kerana selepas kelahiran sahaja, aku berjaya menyusukan Airiel bahkan jururawat memuji tindakan aku. Buat pertama kalinya cairan kolostrum mengisi perut bayiku hingga menitis air mata tatkala momen terindah itu. Tegukan demi tegukan mengisi perut kecilnya dan hanya dilepaskan pabila terasa kekenyangan sekaligus terlelap dengan senyuman manis di bibir. Indah sungguh saat itu...
Lebih syahdu ketika keluar dari dewan pembedahan, aku ditolak keluar bersama-sama bayi berbanding sebelum ini. Aku dan Abang Aiman keluar secara berasingan bahkan hanya bertemu di wad. Tiba saat penyusuan merupakan cabaran seterusnya yang perlu aku lalui. Bukan mudah untuk bangun secara sempurna jika melalui proses melahirkan secara pembedahan namun berbekalkan pengalaman lalu, aku berjaya bangun untuk menyusukan Airiel. Pelbagai posisi aku lakukan bagi memastikan aku selesa menyusukan Airiel. Posisi berbaring (lying down) merupakan kegemaranku hingga kini kerana tidak banyak pergerakan namun aku pernah ditegur oleh jururawat kerana sering menyusu posisi ini. Katanya terlalu rileks dan tidak banyak pergerakan namun jika diperhatikan keadaan aku, posisi ini yang sesuai dan selesa. Aku pernah mencuba posisi mendukung bersilang (cross cradle hold), mendukung (cradle hold), dan mendakap (football hold) namun kurang menambat hati. Sepanjang 3 hari di hospital, aku menyusukan Airiel sepenuhnya. Tatkala itu juga bayiku tidak terkena jaundis.
Aku jangkakan cabaranku sudah berakhir namun ketika minggu awal berpantang aku mengalami bengkak susu bukan kerana bayi tidak menyusu. Ini berlaku kerana puting ku luka meskipun aku telah belajar menyusukan bayi di posisi yang betul dan lekapan yang ku kira betul. Betapa perit tatkala meneruskan penyusuan hingga suamiku menyarankan agar si kecil disua susu formula sementara menanti putingku sembuh. Maafkan aku duhai suami tersayang kerana menolak sarananmu itu. Demi putera kita akan ku cekalkan hati. Bahkan tidak sekali-kali aku mengalah seperti sebelumnya kerana ketika kelahiran anak sulungku, aku turut mengalami masalah yang sama bahkan susuku bercampur dengan darah tatkala dihisap oleh bayi.
Dalam kesakitan, aku tetap teruskan sesi penyusuan bahkan mulutku tidak henti-henti berzikir memohon ketenangan dan kekuatan. Alhamdulillah, akhirnya masalah puting luka dan bengkak susu dapat aku atasi. Sepanjang menangani masalah ini, aku merujuk kepada buku dan orang sekitarku yang boleh memberi petua. Ada yang menyarankan agar aku melekap payudara dengan kobis bahkan menggunakan sikat. Tidak lupa juga ada yang menyuruh aku menyapu luka dengan krim dan susu badan sendiri. Aku turut menggunakan pam yang aku beli bagi mengatasi masalah ini namun hasilnya hampa belaka.
Menyentuh tentang pam, aku ada pengalaman yang menyedarkan diri sendiri. Jangan kedekut untuk melabur membeli pam yang berharga RM200 jika hasilnya memberangsangkan. Jika tidak mampu, simpanlah duit sejak mula hamil lagi. Bukan aku mempromosi keberkesanan pam mahal dan membelakangkan pam murah namun ini hasil pengalaman aku sendiri. Lain padang lain belalang, lain orang lain pandangan. Atas pengalaman peribadi dan faktor kewangan yang membataskan membuatkan aku membeli pam jenama Pureen Manual. Keinginanku untuk mengepam sepanjang berpantang bagi mengumpul stok terbantut begitu sahaja kerana kegagalan pam ini berfungsi dengan sebaiknya. Bahkan aku pernah mencuba mengeluarkan susu secara picitan yang baru ku kenali sebagai MARMET. Namun hasilnya kurang memuaskan mungkin kerana kurang mahir namun berjaya mengurangkan bengkak susu.
Sehingga saat kembali bertugas, tiada sebotol pun bekalan susu untuk Airiel sepanjang berada di dalam jagaan pengasuh. Namun aku bertekad aku akan menyusukan Airiel sebaik sahaja aku pulang ke rumah dan sepanjang bersamanya. Maka hari pertama Airiel ke rumah pengasuh berbekal susu NAN 1. Sepanjang bekerja juga habis bajuku lencun kerana mengalami bengkak susu dan pam yang aku bawa tidak membantu langsung proses pengosongan payudara. Sehingga satu tahap aku mengalah dan putus harapan. Selama 2 hari bertugas, aku menghadapi keperitan yang amat sangat hingga menitis air mata.
Sehingga satu hari seorang teman yang kebetulan baru naik bertugas seperti aku meminjamkan pam Avent Isis yang sedang digunakannya. Alhamdulillah baru sebelah mengepam, aku perolehi 4oz. Bahkan beliaulah yang menyarankan aku untuk meminjam pam daripada Puan Hanna Shafinaz yang tidak menggunakannya. Terima kasih Puan Murzilawati atas semangat dan dorongan anda dan tidak lupa Puan Hanna atas jasa beliau.
Dengan penuh rasa rendah diri, aku meminjam pam tersebut dan bermulalah sesi pengepaman di pejabat. Bekalanku tidak semeriah mana namun sebelum Airiel berumur 1 tahun, aku mengepam sebanyak 3 kali di pejabat iaitu jam 10.00 pagi, 1 tengahari dan 3.30 petang. Setiap kali sesi mengepam aku mendapat lebih kurang 8 oz bahkan kadang-kadang 12oz. Sepanjang berada di jagaan pengasuh, Airiel minum 5 botol susu yang berisi 4oz setiap satunya. Akhirnya, aku berjaya membeli pam sendiri menggunakan duit yang ku perolehi ketika menanggung kerja. Syukur, alhamdulillah perjuangan aku dipermudahkan.
Bercerita tentang Airiel, semenjak minum susu formula bayi kecilku mula mengalami masalah pembuangan air besar. Airiel mengalami masalah pembuangan air besar di mana hampir 1 minggu tidak berak. Aku mula mencuba pelbagai jenama susu namun semua gagal mengatasi masalah pembuangan air besar Airiel. Segeraku bawa untuk pemeriksaan namun doktor menyatakan anakku tiada sebarang masalah. Saat itu, aku terfikir masalah ini tidak wujud ketika aku menyusukan Airiel sepenuhnya. Selain itu, pengasuhku juga mengalami masalah memberi susu melalui botol di mana Airiel tidak mahu menghisap. Pelbagai jenis puting telah ku cuba dan akhirnya aku mencuba puting MAM dan berjaya. Pengajaran buat diriku dan ibu-ibu lain, kita perlu melatih bayi minum melalui botol sebelum memulakan semula tugasan di pejabat. Bahkan kini, aku selalu menyarankan kepada bakal-bakal ibu agar mengumpul bekalan susu ketika berpantang dan melatih bayi minum melalui botol bagi mengelakkan mereka melalui saat getir sepertiku.
Sejujurnya ingin aku nyatakan bahawa di peringkat permulaan aku tidak mendapat sokongan sepenuhnya dari suami yang hanya berfikir aku hanya hangat-hangat tahi ayam. Namun telah aku buktikan kesungguhan bagi menjayakan penyusuan susu ibu dengan iltizam dan keazaman aku menyusukan putera hati kami. Akhirnya suamiku memberikan sepenuh sokongan bahkan menggalakkan aku menyusu selama yang boleh apabila melihatkan kesihatan Airiel yang memberangsangkan dan ketegaran aku. Bohonglah jika dikatakan anak yang menyusu susu ibu tidak akan jatuh sakit namun anak ini mudah sembuh dan jarang sakit berkat susu ibu. Aku juga bersyukur kerana adik perempuanku mengikut jejak ku untuk memberikan susu ibu buat anaknya.
Sebagai ibu bekerjaya dan berada di bidang penguatkuasaan sudah pasti aku terlibat dengan operasi malam. Sebagai ibu yang menyusukan anak ia sedikit sebanyak mencabar ketabahanku. Namun aku berjaya buktikan walaupun aku bertugas di luar waktu pejabat namun sesi memerah tetap diteruskan tanpa prejudis. Operasi malam selalunya bermula jam 6.00 ptg hingga 4.30 pagi. Aku biasanya memerah di R&R Plaza Tol samada di surau bahkan aku pernah mengepam di dalam tandas yang serba kekurangan.
Demi si kecil aku kuatkan semangat kerana tandas plaza tol kurang menyenangkan namun aku tetap meneruskan aktiviti memerah sambil menjaga kebersihan. Alhamdulillah...Semasa memerah susu di surau R&R seringkali aku ditegur oleh para petugas plaza tol bahkan kakitangan agensi lain yang turut sama berada di dalam surau. Rata-rata memuji ketegaran aku mengepam dan memberi kata-kata semangat. Tiada alasan yang boleh membataskan kita untuk menyusukan anak meskipun kita bekerja di lapangan.
Aku juga pernah mengepam ketika menghadiri seminar di sekitar Kuala Lumpur. Tiba saat mengepam, aku pasti akan menyelinap keluar menuju ke arah surau untuk memulakan aktiviti rutinku. Jika seminar tersebut seharian maka aku akan mengepam 3 kali sehari sepertimana jika aku berada di pejabat. Malah aku pernah diusik oleh teman-teman sepejabat sebagai pengepam tegar@ Otai Susu kerana tidak pernah meninggalkan cooler bagku. Sepanjang 2 tahun aku mengepam, tidak pernah tersandang di bahu beg tangan hanya beg pam yang berwarna hijau.
Jika diperhatikan, aku bukan seorang hardcore dalam proses pengepaman. Ini adalah kerana aku lebih banyak mengepam ketika berjauhan dengan si kecil berbanding ibu-ibu yang lebih tegar. Aku pernah mengepam selepas si kecil menyusu namun tiada setitis pun yang keluar. Oleh itu, aku beranggapan payudaraku telah kosong sepenuhnya dengan bantuan si kecil. Namun aku bersyukur dengan izin Illahi bekalanku masih mencukupi untuk mengisi perut si kecil sepanjang ketiadaanku.
Dusta jika dikatakan aku tidak pernah mengalami masalah bekalan susu merundum. Namun aku berjaya atasinya dengan bantuan EBM yang serba kekurangan. Ketika melalui saat ini, aku niatkan di dalam hati dan berdoa ke hadrat Illahi agar dipermudahkan urusanku. Pelbagai jenis milk booster yang aku ambil untuk memperbanyakkan susu seperti longan, kurma, kismis, susu dan paling aku sukai Rosell. Sehingga kini pun jika aku minum air rosell pasti payudaraku penuh seperti dahulu. Bayangkan aku yang sudah 2 tahun 6 bulan masih merasa keadaan seperti awal penyusuan dahulu. Alhamdulillah....
Pernah aku tidak tidur malam kerana memikirkan bagaimana untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan susu. Aku mahu mengapai kejayaan yang penuh kemanisan itu. Harus aku akui bahawa sepanjang perjuangan ini, pelbagai dugaan telah aku lalui yang mana kadangkala membuat jiwa ini merintih dan patah semangat. Namun, kekuatan dan semangat semakin membara tatkala melihat sekujur tubuh kecil yang sedang membesar, memerlukan pengorbananku yang tiada tandingannya. Langkahku atur semakin kemas bersama tiupan semangat sang suami yang berada di sisi.
Saat susu ku merundum, segera aku dapatkan rakan-rakan di Kumpulan Ibu-Ibu Menyusukan atau moms@KIM. Meskipun kami hanya bertemu di alam maya namun tiada istilah kedekut ilmu. Di sana aku cari ilmu dalam mengatasi cabaran dan halangan sepanjang perjuangan ini. Demi merealisasikan perjuanganku untuk permata hati, tanggal 5 Julai 2010 aku tintakan semua perjalananku dalam sebuah blog yang aku namakan http://airielsjourney.blogspot.com. Meskipun kini aku telah berhenti mengepam, namun tetap aku teruskan catatan di sana sebagai tanda kelahiran sebuah blog yang merakam semua kenangan terindahku.
Sepanjang perjalanan menyusukan anak, telah banyak kata-kata negatif dan sindiran yang aku terima. Kadangkala terlintas di hati mengapa bukan kata-kata dorongan yang diberi dan melihat perjuanganku dari sudut yang positif? Aku berjuang untuk putera hatiku bukannya untuk menunjuk-nunjuk aku banyak susu. Namun ia sebenarnya menjadikan aku lebih bersemangat dan kuat. Melihat putera hatiku membesar sihat dan bijak membuatkan hati ini bersyukur. Telahku buka mata semua yang memandang sinis padaku sejauh mana ketegaranku dengan melaksanakan misi penyusuan susu ibu lebih 2 tahun.
Yang pasti detik indah antara aku dan putera hatiku adalah Anugerah Terindah yang selamanya tersemat di kalbu seorang wanita, isteri dan mama bernama NOR HASIDAWATI BT HAMID .
tahniahhh...
ReplyDeletemekacih Qaseh..isi sama je...olahan berbeza..thee..
ReplyDelete